 | | Drama: My Little Chef (2002) |
Saya tahu bahawa saya kerap bercerita tentang dunia pop, khususnya yang mempunyai kaitan dengan Jepun. Tetapi, tahukah anda bahawa Jepun banyak menghasilkan karya seni (filem dan drama) yang bertemakan masakan dan makanan? Ya, saya pasti tidak ramai daripada anda yang tahu, bukan? Sebenarnya, antara drama Jepun terawal yang saya tonton adalah sebuah drama yang menceritakan tentang seorang tukang masak. Drama ini saya tonton menerusi siaran televisyen Singapura sekitar tahun 2001 dahulu. Pada waktu itu, ‘penjajahan’ drama Jepun di Malaysia baru sahaja melalui fasa awal (tetapi Singapura lebih awal daripada itu). Apa yang menariknya tentang drama-drama Jepun ini adalah ketelitian mereka dalam mengolah jalan cerita. Bukan itu sahaja, setiap resipi yang dipaparkan di dalam drama mereka juga adalah sangat tepat, di samping masakan yang dibuat dengan penuh sempurna. Lebih mengejutkan, mereka tidak hanya tertumpu pada masakan tempatan semata-mata, malahan masakan luar juga turut ditunjukkan dengan sangat baik. Ini berbeza apabila kita melihat situasi drama Melayu. Ya, saya perasan bahawa setiap drama Melayu memang ada babak menjamu selera. Tetapi, setakat yang saya tahu, tidak ada lagi (atau sangat kurang) drama Melayu yang dibuat khusus bertemakan masakan dan makanan. Ini sebenarnya boleh dijadikan sebagai satu faktor yang boleh membantu perkembangan sosial masyarakat Malaysia, terutamanya Melayu. Misalnya, jika ada paparan drama yang mengisahkan tentang anak muda yang bersungguh-sungguh mahu berjaya sebagai tukang masak terkenal, ini akan secara tidak langsung mempengaruhi kanak-kanak dan remaja untuk mencontohi watak tersebut. Sebaliknya, kita terlalu banyak disuapkan dengan drama-drama korporat yang lebih banyak unsur-unsur picisan. Tambahan pula, saya percaya bahawa masyarakat Malaysia secara umumnya masih lagi berada dalam keadaan yang tertutup. Maksudnya di sini, kebanyakan ibu bapa masih lagi berpendapat bahawa hanya pekerjaan yang bertunjangkan sains sahaja (misalnya, doktor perubatan) yang benar-benar menjamin masa hadapan anak-anak mereka. Faktanya yang kita semua tahu, ia adalah tidak benar. Jadi, sudah tiba masanya generasi sekarang dibuka minda mereka dengan contoh yang lebih luas. Saya jamin, tidak ramai remaja khususnya lelaki yang gemar menonton siaran masakan seperti Asian Food Channel (AFC) yang ditawarkan oleh Astro. Oleh itu, alangkah baiknya jika drama-drama Melayu yang berkaitan masakan dan makanan tumbuh bagaikan cendawan, bukan?
|
Post a Comment
1. Sebarang kenyataan biadab adalah dilarang.
2. Sebarang bentuk spams akan dipadam serta-merta.
3. Jadilah manusia yang berakal dan berhemah.