Setiap kali saya ke pasaraya-pasaraya besar atau kompleks membeli-belah, saya gemar sekali singgah di kedai-kedai yang menjual makanan. Ini termasuklah yang berbentuk makanan segera, makanan ringan dan juga makanan berat. Bukannya apa, saya suka akan aromanya. Jadi, sewaktu saya singgah di kedai kek baru-baru ini, saya teringat akan suatu kisah yang menarik. Kisah tersebut, sebenarnya, saya tonton dalam sebuah drama Jepun yang bertajuk Strawberry on the Shortcake (terbitan tahun 2001). Namun tema bagi drama tersebut bukanlah apa yang saya mahu ceritakan di sini. Saya sebenarnya tertarik dengan satu falsafah yang terdapat dalam drama tersebut. Mizawa Yui dalam drama ini adalah seorang gadis yang sedikit berlainan berbanding gadis-gadis biasa. Pernah suatu ketika, dia bertanya kepada kekasihnya, Irie Manato, tentang buah strawberi yang terdapat pada kek rapuh (istilah sasar bagi shortcake menurut Kamus Dewan) yang berbunyi seperti berikut: Jika kamu ingin makan kek rapuh strawberi, bahagian manakah yang akan kamu ambil terlebih dahulu? Jika saya, saya akan makan buah strawberinya terlebih dahulu sebelum keknya. Sebenarnya, di sebalik apa yang kita lakukan, ia akan menggambarkan siapa sebenarnya diri kita walaupun ketika sedang menjamu selera. Jadi, persoalan sama ada anda makan bahagian yang paling anda suka itu dahulu atau kemudian, juga boleh menggambarkan personaliti anda. Akan tetapi, perlu diingat bahawa ia bukanlah tepat sepenuhnya. Pada pendapat saya pula, orang yang gemar menikmati bahagian kegemarannya dahulu (dalam kes ini, buah strawberi) sebelum bahagian lain adalah individu yang mementingkan kepuasannya sendiri tanpa memikirkan pro dan kontranya terhadap sekelilingnya. Sebaliknya, orang yang makan buah strawberi tersebut setelah keknya dihabiskan dahulu, boleh dikatakan sebagai individu yang gemar melalui cabaran-cabaran sukar sebelum menikmati kejayaan. Pokok pangkalnya, analogi ini cuba menggambarkan perbezaan di antara dua orang berlainan ketika menghadapi bahagian makanan yang paling diminati. Barangkali ada yang tidak bersetuju, tetapi analogi ini sendiri pun hanya menggambarkan falsafah hidup individu tertentu yang bagi saya, masih menarik. Realitinya, bahagian mana pun yang anda makan tidak menggambarkan diri anda mengikut falfasah yang saya terangkan di atas. Apa sekalipun, di antara kek dan strawberi, manakah yang anda makan terlebih dahulu? |
Post a Comment
1. Sebarang kenyataan biadab adalah dilarang.
2. Sebarang bentuk spams akan dipadam serta-merta.
3. Jadilah manusia yang berakal dan berhemah.