Mengikut pengamatan saya, antara perkara yang paling menarik untuk dilakukan di dunia adalah makan dan menulis. Makan, siapa yang tidak suka, bukan? Tetapi, kalau menulis belum tentu semua menyukainya. Saya mula menulis ‘dengan seriusnya’ sewaktu berada di dalam tingkatan lima (tahun 2002). Ketika itu, penulisan saya (sehingga kini) banyak ke arah genre pop atau berupa roman kodian. Perkataan ‘roman kodian’ ini pun saya tahu menerusi kolum dalam sebuah komik yang dah pupus, tidak ada lagi atau bahasa kasarnya, mati. Segelintir daripada anda mungkin merasakan bahawa komik adalah sesuatu yang picisan. Namun, bukan semua komik adalah begitu. Komik yang bagus (lari daripada aliran arus perdana) biasanya sukar untuk didapati di pasaran dan kerana itulah komik yang mempunyai ruangan Roman Kodian tersebut tidak dapat bertahan dalam jangka waktu yang lama. Sungguhpun begitu, pengaruh komik tersebut (terutamanya hasil penulisan) masih lagi kuat dalam diri saya. Disebabkan itu, saya mula menulis di dalam blog seawal tahun 2006 menerusi laman sosial MySpace sebelum berpindah ke LiveJournal, WordPress dan akhirnya Blogger. Apa yang saya tulis di situ banyak merangkumi apa yang saya minati di mana ia boleh menjadi serius pada satu-satu tahap. Jadi, untuk mengetahui lebih lanjut tentang bidang penulisan, saya pun mengambil subjek Penulisan Kreatif (di bawah bimbingan Prof. Madya Dr. Mawar Safei) dan Bentuk-Bentuk Penulisan pada semester kali ini. Walaupun ia lari daripada bidang saya sendiri (jurusan Ekonomi di Universiti Kebangsaan Malaysia), tetapi itu bukan satu masalah yang besar. Ini kerana di dalam apa bidang sekalipun, menulis adalah sesuatu yang perlu dan selalu dilakukan oleh setiap individu. Cuma, mungkinlah medium dan bahasa yang digunakan itu berbeza-beza mengikut gaya masing-masing. Seboleh-bolehnya untuk blog ini, saya mahu menulis dalam keadaan yang santai tetapi dengan gaya bahasa yang lebih baik (berbanding blog saya yang lain). Oleh itu, saya akan cuba menyesuaikan bahasa, tema (makanan dan masakan), pengaruh sekeliling dan lain-lain lagi di dalam blog ini dengan semenarik yang mungkin. Akhir kata, apa yang terilham akan dikongsikan di sini. Ia mungkin boleh menjadi sesuatu yang lucu, serius, sedih, pelik dan lain-lain lagi. Barangkali, anda juga pernah, sedang atau akan mengalaminya sendiri (siapa yang tahu, bukan?). |
Post a Comment
1. Sebarang kenyataan biadab adalah dilarang.
2. Sebarang bentuk spams akan dipadam serta-merta.
3. Jadilah manusia yang berakal dan berhemah.