Sejujurnya, saya berasa sedikit hairan dengan pendidikan di Malaysia. Di Jepun, pendidikan dalam bidang masakan turut diutamakan. Buktinya, ramai golongan lelaki di sana tidak sekadar hebat memasak makanan segera, malah turut handal memasak pelbagai jenis masakan sama ada tempatan mahupun Barat. Sekarang, cuba lihat situasi di Malaysia. Saya sebagai contoh, tidak tahu memasak makanan yang berada ‘di luar bidang’ saya, misalnya asam pedas, mi rebus, kacang pool dan sebagainya, apatah lagi masakan Barat. Namun, bukan saya sahaja mengalaminya, saya boleh jamin ramai lagi lelaki yang seperti saya. Jadi di sini, saya melihat akar umbi kepada masalah ini adalah sistem pendidikan kita. Di sekolah menengah, subjek memasak adalah elektif yang seolah-olah dipinggirkan. Justeru itu, ramai remaja lelaki hanya memandang sepi tentang subjek ini. Jika di Jepun, kebanyakan restoran dikemudi oleh tukang-tukang masak lelaki. Lebih menarik, kebanyakan pemilik restoran juga adalah lelaki. Jika di Malaysia, saya rasa mungkin restoran-restoran mamak sahaja yang banyak dikemudi oleh tukang-tukang masak lelaki. Kalaulah pendidikan tentang memasak ini diberikan perhatian serius di sekolah, tidak mustahil ramai lagi remaja lelaki akan ke dapur. Para ibu pula boleh tersenyum kerana anak-anak lelaki mereka boleh membantu di dapur. Di samping itu, ramai yang akan berfikir untuk menjadikan ia suatu bentuk perniagaan. Bukannya apa, jika seorang lelaki mahir memasak, ia akan mendatangkan banyak faedah terutamanya apabila dia mendirikan keluarga. Jika isteri sarat mengandung, ia tidak menjadi masalah sekiranya suami mahir memasak. Oleh itu, tidak perlulah dibazirkan wang untuk selalu membeli makanan luar. Justeru itu, adalah bagus sekiranya sistem pendidikan kita diubah. Walaupun ia berbentuk elektif, tetapi jika diajarkan dalam suasana yang baik (misalnya bilik khusus untuk memasak), maka kebarangkalian untuk menarik minat remaja lelaki adalah tinggi. Lagipun, ini adalah perkara asas yang golongan lelaki patut tahu, bukan? |
Post a Comment
1. Sebarang kenyataan biadab adalah dilarang.
2. Sebarang bentuk spams akan dipadam serta-merta.
3. Jadilah manusia yang berakal dan berhemah.