Baru-baru ini, sewaktu menemani rakan saya membeli-belah di Carrefour, saya teringat satu kisah tentang seekor semut dan gula. Kisah ini mungkin pernah anda dengari, dan mungkin juga tidak. Pokok pangkalnya di sini, ia sangat menarik untuk kita mengambil ikhtibar daripadanya. Pada suatu hari, seekor semut diambil oleh seorang hamba Allah dan diletakkan di dalam sebuah bilik yang mengandungi makanan iaitu beberapa butir gula. Ini kerana hamba Allah ini kagum dengan semut tersebut yang mengatakan bahawa ia mampu menahan diri daripada kelaparan walau hanya memakan sebutir gula. Justeru itu, hamba Allah ini berniat untuk menjaga semut ini dalam bilik tersebut sementara dia sendiri keluar berniaga. Akan tetapi, sejurus pulang, dia terkejut kerana mendapati semut tersebut tidak memegang janjinya untuk tidak makan lebih daripada sebutir gula sepanjang hari. Namun, semut tersebut memberikan alasan bahawa ia tidak yakin kepada hamba Allah itu yang mungkin lupa akan dirinya itu. Jika di luar bilik itu, semut tersebut berasa sangat yakin kepada Allah yang tidak pernah melupakan hamba-hamba-Nya dengan melimpahkan rezeki yang melimpah ruah. Di sini, kita boleh melihat tahap keyakinan semut itu terhadap penciptanya. Kalau nasibnya diletakkan di bawah tangan manusia, mungkin ia akan mati kelaparan. Tetapi, jika ia sangat yakin dengan kuasa penciptanya, maka ini adalah satu motivasi yang sangat bagus untuk hidup. Sejujurnya, saya tidak berapa ingat keseluruhan ceritanya. Tetapi, apa yang paling saya ingat adalah pengajaran daripada cerita ini mengenai tahap keyakinan. Agaknyalah, sejauh manakah tahap keyakinan anda terhadap Allah, mahupun diri sendiri? |
Post a Comment
1. Sebarang kenyataan biadab adalah dilarang.
2. Sebarang bentuk spams akan dipadam serta-merta.
3. Jadilah manusia yang berakal dan berhemah.