Menjadi lelaki seksi adalah sukar sebenarnya, jika kita tidak pandai memasak walau sedikit. Oleh itu, adalah perlu bagi lelaki untuk belajar memasak. Namun, memadailah hanya beberapa jenis masakan yang mudah, misalnya masakan bergoreng. Saya pula adalah seorang yang suka makan. Saya akan lapar setiap dua atau tiga jam, yang mana saya sendiri kurang mengerti mengapa saya begitu. Kalau saya sudah berkerjaya, adalah tidak menjadi masalah untuk makan di luar selalu, tetapi realitinya, saya masih lagi seorang pelajar. Disebabkan pengaruh drama-drama Jepun sangat kuat dalam diri saya, maka terdapat beberapa jenis masakan mereka yang saya sangat suka. Antara masakan mereka yang paling saya suka adalah teppanyaki, di mana ia boleh dikatakan masakan yang bergoreng. Tentang perkara ini, saya kurang pasti sebenarnya. Apa yang pasti, teppanyaki dimasak dengan menggunakan kuali leper. Kalau kita berada di restoran yang menghidangkan masakan ini, biasanya tukang masak akan membuatnya di hadapan kita. Ini kerana gaya atau cara penyediaan teppanyaki tersebut sememangnya begitu, di samping skil masakan masing-masing yang unik. Walau bagaimanapun, ia sebenarnya amat mudah untuk disediakan sendiri. Saya sebagai contoh, telah mengambil resipinya dan cuba membuatnya sendiri meski mungkin tidak sesedap yang asli. Pendek kata, masakan seperti ini membolehkan lelaki menyediakan makanan sendiri disebabkan cara penyediaannya yang memang mudah. Sebenarnya, apa yang saya ingin tekankan di sini adalah betapa mudahnya memasak itu jika kita ada keinginan untuk melakukannya. Saya fikir, masih ramai lagi lelaki-lelaki di luar sana yang ego tidak mahu ke dapur. Terdapat segelintir daripada mereka yang masih berfikiran kolot yang menganggap memasak hanyalah tugas wanita semata-mata. Justeru itu, adalah sangat bagus jika seorang lelaki dapat mempelajari pelbagai jenis masakan. Ini bukan sahaja mendatangkan faedah kepada dirinya sendiri, bahkan orang lain juga. Siapa tahu, pada masa akan datang bakat ini boleh ditukar menjadi suatu bentuk perniagaan, bukan? |
Post a Comment
1. Sebarang kenyataan biadab adalah dilarang.
2. Sebarang bentuk spams akan dipadam serta-merta.
3. Jadilah manusia yang berakal dan berhemah.