Pada suatu hari di kala sang kumulus berlari riang di dada langit, kelihatan di atas pokok burung-burung yang girang sedang sibuk berkicauan. Seekor kucing putih pula hanya mampu memandang dari bawah dengan penuh cemburu. Apa boleh buat, hidup tidak berteman memang begitu. Sementara itu, di sebuah restoran Joni dan Ridzuan sedang enak menjamu selera. Dari gaya mereka makan, nampak seperti orang yang sudah lama tidak merasai kelazatan mi goreng mamak. Tentu sekali, makan tanpa berkata apa-apa adalah menipu namanya. “Wan, kau percaya tak kalau suatu hari nanti kita boleh bau aroma masakan ibu kita melalui telefon sahaja?” tanya Joni secara tiba-tiba. Ridzuan yang sedang khusyuk menjamu selera tersedak apabila ditanya soalan sebegitu. Pelik benar bunyinya, barangkali lebih sukar daripada soalan sains di sekolah rendah. Namun apabila dipandang wajah rakannya itu, nampak benar seriusnya. “Menarik itu. Tinggi betul imaginasi kau, belum pernah aku terfikirkannya,” jawab Ridzuan dengan dahi yang berkerut. “Yalah, cuba kau bayangkan dulu orang tak menjangka pun yang kita sekarang boleh mendengar suara walau dari jauh hanya dengan menggunakan satu alat iaitu telefon. Jadi adalah tak menghairankan jika suatu hari nanti akan ada teknologi yang membolehkan kita untuk bau aroma masakan dari jauh juga,” terang Joni dengan panjang lebar. Ridzuan serta-merta mengangguk tanda setuju setelah mendengar pandangan Joni itu. Sambil menghirup kopi yang suam itu, Ridzuan mengalihkan pandangannya ke luar restoran memikirkan kata-kata Joni sebentar tadi. Tidak semena-mena, Ridzuan tersenyum sendirian memerhatikan rakannya yang kembali menjamu selera dengan penuh sopan itu. |
October 5, 2011 at 1:08 PM