<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar/3974117245351712235?origin\x3dhttps://aromaminda.blogspot.com', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>
 
 
Sunday, October 2, 2011

Ubi Rebus

Sewaktu saya menyertai marhaban di kawasan kejiranan saya sempena Aidilfitri yang lalu, tuan rumah bagi majlis ini telah menyediakan ubi rebus sebagai menu makanannya. Katanya lagi, menu ini dibuat sebagai mengenang kepayahan hidup sewaktu pra-kemerdekaan dan pasca kemerdekaan yang masih dibelenggu kemiskinan. Bagi saya, ini sangat menggamit memori.

Saya memang tidak hidup pada zaman pra-kemerdekaan, lalu tidak dapat merasai kepayahan hidup waktu itu. Namun, ubi rebus ini mempunyai kenangan tersendiri kepada saya. Kenangan ini pula berupa suatu kenangan yang manis di mana ia berlaku jauh ke belakang sewaktu saya masih lagi kanak-kanak.

Dahulu, saya mengaji al-Quran bersama arwah datuk saya sendiri yang sangat tegas dan garang ketika mengajar (tetapi realitinya arwah datuk sangat penyayang). Sekiranya terdapat kesalahan dalam satu ayat, arwah datuk akan menyuruh saya mengulanginya sehinggalah sempurna. Di sini, apa yang menariknya adalah menu makanan pada waktu petang itu (saya mengaji selepas Asar) iaitu ubi rebus.

Melihat saya sering dimarahi arwah datuk kerana berulang kali melakukan kesalahan sama, arwah nenda pula selalu memujuk dengan menyediakan makanan-makanan yang enak. Antaranya selain ubi rebus tersebut adalah pisang goreng, karipap, jemput-jemput dan sebagainya. Tetapi, saya paling suka ubi rebus itu yang dicecah dengan sambal tumis.

Ubi rebus nenda lain sedikit berbanding yang dijual di tepi-tepi jalan. Ini kerana ubi rebus tersebut benar-benar lembut dan mempunyai rasa (tidak tawar, tidak terlalu manis atau masin) yang sukar saya gambarkan di sini. Justeru itu, saya sangat menggemarinya lebih-lebih lagi sekiranya cuaca pada waktu tersebut sejuk disebabkan hujan.

Pendek kata, ubi rebus ini menggamit memori saya dalam bentuk yang lain. Kenangan tersebut sangat sukar untuk saya lupakan. Apa sekalipun, saya berharap agar generasi akan datang masih lagi tahu apa itu ubi rebus dan tidak terhenti setakat generasi saya sahaja.

SEKIAN
1:20 PM
0 KATA HATI
[ 0 ] PENDAPAT

Post a Comment

1. Sebarang kenyataan biadab adalah dilarang.
2. Sebarang bentuk spams akan dipadam serta-merta.
3. Jadilah manusia yang berakal dan berhemah.